Sunday, September 14, 2014

Assalamualaikum.

Diantara Pelabur dan Pelebur

Terdapat tiga jenis pelabur tanpa mengira apa jua instrument pelaburan.

1) Pelabur yang sanggup untuk membayar bagi mendapatkan khidmat nasihat yang professional untuk pelaburan mereka. Golongan ini amat serius terhadap pelaburan mereka. Mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan khidmat nasihat pakar yang benar-benar arif tentang instrument pelaburan yang mereka pilih. Bagi mereka nasihat yang percuma tidak akan memberikan impak yang mendalam atau nasihat sebegini belum tentu dapat memastikan mereka menjana pulangan yang lumayan daripada pelaburan mereka. Biasanya golongan ini terdiri daripada mereka yang professional dan mereka yang sedar dan menghargai setiap ringgit yang mereka laburkan. Secara jelas, golongan inilah golongan yang pastikan BERJAYA menjana pendapatan lumayan daripada pelaburan mereka.

2) Jenis yang kedua adalah terdiri daripada golongan yang tidak serius terhadap pelaburan mereka. Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang berkepentingan atau lebih mudah ianya PERCUMA. Sepatutnya nasihat yang percuma sekadar dijadikan info tambahan dan bukannya sebagai satu garis panduan mutlak untuk memulakan pelaburan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat didalam pelaburan stock atau hartanah.

Dinegara kita golongan ini merupakan golongan yang tertinggi yang ada didalam komuniti. Mereka tidak sanggup mengeluarkan modal untuk menyelamatkan pelaburan mereka. Golongan ini seolah-olah mempertaruhkan usaha dan simpanan mereka hanya untuk untuk satu kerugian.

3) Golongan ini pula merupakan golongan yang memandai. Mereka adalah terdiri daripada mereka yang merasakan diri mereka sudah cukup atau malu untuk belajar. Mereka tidak membayar untuk mendapatkan nasihat dari pakar dan tidak juga cuba mendapatkan nasihat PERCUMA dari golongan yang berkepentingan. Bagi mereka semua ini tidak penting. Kononnya ilmu yang dimilki sudah mencukupi untuk melabur. Sebenarnya golongan ini juga berada didalam situasi yang amat merbahaya. Tidak kira sepakar mana kita didalam sesuatu bidang, kita masih perlu untuk belajar atau mungkin untuk mengingati isu-isu yang sudah kita lupa. Proses pembelajaran tidak pernah berakhir. Jika seseorang itu berhenti dari belajar, maka terjejas jugalah imannya.

Islam mensyariatkan kita agar sentiasa belajar. Ilmu perlu dicari. Walaupun kita sudah memiliki PhD atau master, tidak semestinya tidak perlu belajar lagi. Harus diingat ilmu berkembang dengan pesat setiap hari.

Daripada ketiga-tiga golongan yang saya nyatakan ini, seharusnya kita bijak memilih dimanakah posisi kita. Kita adalah kita dan kitalah yang menentukan kejayaan hidup kita. Bertindak bijaklah agar kita tidak membuat sesuatu yang merugikan masa dan wang ringgit kita.


No comments:

Post a Comment