GURUN: Usahawan Bumiputera
digalakkan menceburi sektor pertumbuhan tinggi untuk menjana pendapatan yang
lebih lumayan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, pembabitan usahawan Bumiputera
dalam sektor yang memerlukan inovasi dan kreativiti masih berada pada tahap
yang rendah kerana kebanyakan mereka memberi tumpuan kepada industri tradisi
saja.
Katanya, usahawan Bumiputera akan
mendapat kesan yang kurang memuaskan terhadap perkembangan perniagaan mereka
sekiranya hanya memberi fokus kepada perniagaan yang tidak mempunyai inovasi
dan kreativiti.
"Katalah dia nak terbabit
dalam pertanian sekalipun, ada unsur inovasi maka pulangannya pun lebih lumayan
tetapi kalau dia masih dalam industri kecil yang tak banyak menggunakan inovasi
jadi pulangannya terlampau rendah," katanya.
Beliau berkata
demikian selepas majlis ramah mesra dan jamuan teh Dewan Muda Dewan Perniagaan
Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah di Harvard Jerai di sini, semalam.
Mukhriz
berkata, walaupun usahawan bumiputera mengalami kekangan daripada segi modal
untuk berada dalam industri berkenaan namun ia bukan halangan yang besar kerana
sikap berani mencuba perkara yang baru dapat mengatasi masalah tersebut.
"Kita
tengok syarikat yang berjaya walaupun menggunakan modal yang kecil, tetapi
kerana mereka berani menggunakan inovasi maka mereka boleh melonjakkan pulangan
mereka ke tahap yang begitu memberangsangkan," kata Mukhriz.
Bagaimanapun
beliau mengesyorkan usahawan Bumiputera supaya membuat kajian pasaran secara
menyeluruh terlebih dulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan untuk memahami
kehendak pasaran.
Dewan Muda DPMM Negeri Kedah dilancarkan pada 2001
sebagai wadah perdana untuk melahirkan dan memperkasakan usahawan muda Melayu
bertaraf global selari dengan aspirasi negara.
Usahawan Bumiputera
khususnya golongan muda Melayu berumur 40 tahun ke bawah yang berminat
menganggotai Dewan Muda DPMM Negeri Kedah boleh menghubungi Pengerusi Dewan
Muda Kedah, Fadzilly Harun di talian 012-4824065 untuk keterangan lanjut. -
BERNAMA ( 2012/01/21)
No comments:
Post a Comment